Cabaran penglibatan keluarga dalam proses pendidikan masa kini kesan daripada transformasi keluarga dari aspek struktur dan jenis keluarga.

            Struktur keluarga moden lebih kompleks dan pelbagai disebabkan oleh banyak faktor antaranya ialah perkembangan ekonomi hasil industrilisasi dan pembandaran, perubahan undang-undang dan lebih ramai orang bersikap individualistik daripada semangat kekeluargaan. Perubahan kepada struktur keluarga murid-murid perlu dikenal pasti oleh guru sekiranya ingin memastikan penglibatan ibubapa dalam proses pembelajaran anak-anak  mereka memberi impak terhadap pencapaian prestasi pelajaran. Mengapa seorang guru perlu mengenal pasti struktur keluarga murid-muridnya sebelum merancang penglibatan ibubapa?
            Persoalan ini boleh diterangkan dengan lebih jelas menggunakan Teori Sistem Ekologi Bronfenbrenner atau juga dikenali sebagai Teori Sistem Bioekologi. Menurut Bronfenbrenner, “no one is an island” yang bermaksud setiap individu dipengaruhi dan mempengaruhi individu lain dalam persekitarannya. Kematangan biologi kanak-kanak dipengaruhi oleh sistem keluarga, persekitaran komuniti dan latarbelakang sosial yang akan menjana dan menentukan arah perkembangan mereka. Ini lebih mudah difahami dengan merujuk kepada rajah Model Sistem Bioekologi di bawah;


Model Sistem Bioekologi

Perkembangan kanak-kanak mempunyai hubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan pelbagai sistem yang membina persekitarannya. Sistem terpenting dalam persekitaran kanak-kanak adalah rumah/ keluarga, sekolah dan komuniti. Menurut teori ini, kesemua sistem berkait antara satu sama lain dan jika kanak-kanak itu menghadapi isu yang mengubah hubungannya dengan sistem tertentu, sistem lain juga akan terkesan. (Seperti kesan riak di air).
Daripada rajah Model Sistem Bioekologi di atas, bulatan paling dalam iaitu mikrosistem, adalah yang paling hampir dengan kehidupan seorang kanak-kanak. Ia terdiri daripada keluarga, ibubapa, adik-beradik dan rakan sebaya. Bulatan kedua yang meliputi mikrosistem, iaitu mesosistem menerangkan hubungan yang berkembang dan wujud antara dan dalam mikrosistem contohnya rumah-sekolah, rumah-pusat asuhan, kawasan kejiranan dan lain-lain. Eksosistem pula adalah persekitaran yang tidak berhubung secara langsung dengan kanak-kanak tetapi tetap mempengaruhi perkembangan mereka iaitu tempat kerja ibubapa, industri tempatan, ataupun pihak berkuasa tempatan.
Menurut Bronfenbrenner, apabila hubungan antara mikrosistem serasi, perkembangan pertumbuhan kanak-kanak akan berjalan lancar. Contohnya harapan keluarga dan sekolah adalah sama iaitu mengkehendaki kanak-kanak itu memiliki sifat-sifat rajin berusaha, menepati masa dan menunjukkan pencapaian akademik yang baik, kanak-kanak akan lebih mudah mencapai matlamat tersebut, berbanding jika harapan keduanya tidak sama.
Sebagai guru atau pendidik, kita perlu mamahami bahawa kanak-kanak membesar dalam struktur keluarga yang berbeza. Perbezaan struktur keluarga ini bermakna setiap keluarga mempunyai isu yang berbeza, keperluan berbeza, kekuatan berbeza dan juga nilai yang berbeza. Oleh itu, dengan memahami perbezaan dalam struktur keluarga, guru akan lebih bersedia menghadapi halangan bagaimana melibatkan ibubapa dalam proses pembelajaran anak-anak mereka supaya penglibatan ibubapa lebih bermakna.
Penglibatan ibubapa dalam pendidikan anak-anak mereka mempunyai beberapa halangan/ cabaran yang telah dikenal pasti dan ia sedikit berbeza mengikut jenis struktur keluarga. Penglibatan keluarga khususnya memfokus kepada peranan ibubapa dalam pendidikan anak-anak mereka samada di rumah ataupun dalam persekitaran di sekolah. Model Enam Jenis Penglibatan Epstein menggariskan enam jenis tingkah laku penglibatan keluarga iaitu Jenis 1 gaya keibubapaan (parenting), Jenis 2 komunikasi (communicating), Jenis 3 sukarelawan (volunteering), Jenis 4 aktiviti pembelajaran di rumah (learning at home), Jenis 5 membuat keputusan (decision making) dan Jenis 6 kolaborasi dengan komuniti (collaborating with community).
Perbincangan akan memfokuskan bentuk-bentuk halangan penglibatan berpandukan model Epstein yang terpilih dari aspek struktur keluarga iaitu keluarga ibu tunggal dan keluarga kedua ibubapa bekerja.
Komunikasi dilihat sebagai jenis penglibatan yang sesuai dimulakan dahulu dalam usaha meningkatkan penglibatan keluarga dalam pendidikan anak-anak mereka. Pihak sekolah perlu membina komunikasi dua hala yang berkesan tentang program-program sekolah dan juga memaklumkan kepada keluarga tentang perkembangan pembelajaran murid-murid kepada ibubapa mereka.
Halangan yang dihadapi oleh ibu tunggal dalam komunikasi ialah kebanyakan mereka berpandangan yang mereka tidak berkeupayaan membantu anak-anak cemerlang di sekolah yang berpunca daripada kurangnya keyakinan diri. Rasa rendah diri kerana keadaan keluarga tanpa suami, taraf pendidikan yang biasanya rendah dan juga taraf sosioekonomi yang rendah. Ibu tunggal juga bergelut dengan batasan masa bila mana mereka merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarga dan terpaksa bekerja mungkin lebih dari satu pekerjaan dan ini menghadkan masa untuk berkomunikasi secara dua hala dengan sekolah secara formal. Sekiranya keluarga ini mempunyai anak yang masih kecil, mereka akan menghadapi kesukaran untuk mencari pengasuh anak sekiranya perlu menghadiri perjumpaan dengan guru dan juga masalah pengangkutan kerana ia melibatkan kos.
Bagi keluarga dua pendapatan (kedua ibubapa bekerja) halangan untuk komunikasi lebih kepada batasan masa. Ibubapa bekerja mempunyai masa yang terhad dan kurang fleksibel (Catsambis, 2001; Green et al., 2007). Komunikasi keluarga dan sekolah biasanya adalah formal dan memerlukan keluarga memperuntukkan sejumlah masa tertentu pada waktu tertentu yang mungkin menjadi halangan kepada ibubapa yang bekerja untuk melibatkan diri.   
Penglibatan keluarga yang dilihat amat berkait dengan kecemerlangan prestasi anak-anak ialah mewujudkan suasana positif di rumah atau gaya keibubapaan. Pihak sekolah boleh membantu dengan memberikan sokongan kepada keluarga untuk menyediakan suasana pembelajaran di rumah selain menggalakkan perkembangan kemahiran keibubapaan melalui bengkel dan sebagainya.
Tetapi pihak sekolah perlu memahami yang ibu tunggal kebanyakkannya mempunyai pendapatan rendah ataupun tidak bekerja, ini disokong oleh perangkaan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, (2002) 7.5 peratus penduduk Malaysia adalah di bawah paras kemiskinan dan daripada jumlah itu, 16.5 peratus adalah keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal. Kemiskinan merupakan halangan bagi ibu tunggal untuk menyediakan suasana pembelajaran positif di rumah seperti ruang belajar yang sesuai ataupun membelikan bahan bacaan yang boleh meningkatkan kemahiran dan minat anak-anak terhadap pelajaran. Bebanan kewangan juga boleh memberi kesan negatif terhadap psikologi ibu yang secara tidak langsung cenderung untuk menyebabkan situasi tegang di rumah. Ibu tunggal juga menghadapi kesukaran untuk mengawasi anak-anak mereka semasa mereka keluar bekerja sekiranya tidak mendapat sokongan dan bantuan dari ahli keluarga terdekat (extended family). Disebabkan itu juga mereka kurang melibatkan diri dengan aktiviti di sekolah dan pendidikan anak-anak mereka. (Van Velsor & Orozo, 2007).
Ibubapa bekerja terutama dari kelas kolar biru selalunya mempunyai nilai dan budaya berbeza dengan sekolah/ guru yang mana melihat sekolah dan keluarga adalah entiti yang berbeza. Oleh itu tidak menganggap gaya keibubapaan dan menyediakan suasana pembelajaran di rumah boleh membantu meningkatkan prestasi anak mereka.  Jenis pekerjaan ibubapa juga boleh menjadi halangan untuk ibubapa melaksanakan gaya keibubapaan yang berkesan sekiranya pekerjaan tersebut memerlukan mereka banyak ‘travel’ dalam atau luar negara ataupun melibatkan syif bekerja yang lama.
Untuk penglibatan aktiviti pembelajaran di rumah, sekolah perlu menyediakan maklumat dan idea kepada keluarga bagaimana mereka boleh membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja sekolah dan juga perancangan, membuat keputusan dan aktiviti kurikulum yang lain. Chamhuri (2005) menyatakan tahap pendidikan keluarga miskin lebih rendah daripada bukan keluarga miskin di mana peratus ketua isi rumah hanya tamat sekolah rendah. Oleh itu boleh dikatakan halangan bagi ibu tunggal bagi penglibatan aktiviti pembelajaran di rumah ialah tahap pendidikan yang rendah.  
Tahap pendidikan yang rendah akan menyebabkan ibu tunggal tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu anak mereka. Kebanyakkan ibu tunggal tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan keprihatinan mereka terhadap pendidikan anak-anak secara positif. Mereka juga kurang yakin bagaimana untuk membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja sekolah sedangkan mereka sendiri tidak faham tentang topik pelajaran terutama apabila anak-anak memasuki sekolah menengah.
 Keluarga ibubapa bekerja menghadapi halangan dari segi masa terutama dalam memantau pembelajaran anak-anak di rumah disebabkan kedua-duanya bekerja. “According to a national survey commissioned by Hand-in-Hand, 30% of parents feeling frustrated because not enough time to help children with schoolwork”. Selain itu ibubapa bekerja juga berdepan dengan ketidak pastian bagaimana membantu anak-anak mereka menyiapkan kerja sekolah kerana keterbatasan masa untuk mendapatkan maklumat terkini tentang pendidikan semasa.
Dan terakhir sekali ialah penglibatan sukarela (volunteering) keluarga di mana sekolah akan memilih dan menyusun bantuan dan sokongan dari keluarga untuk aktiviti atau keraian di sekolah. Penglibatan keluarga secara sukarela amat dialu-alukan di sekolah dan amat diperlukan oleh sekolah terutama melancarkan proses pembelajaran murid-murid. Sebagai ibu tunggal, penglibatan dalam aktiviti sukarela sukar untuk diamalkan disebabkan beberapa halangan seperti kemiskinan. Ibu tunggal terpaksa bekerja dalam jangka masa yang panjang serta kerap maknanya mungkin 10 jam dan enam hari seminggu. Masa yang tidak fleksibel menyukarkan mereka menjadi sukarelawan di sekolah. Walaupun mereka mungkin tidak terikat dengan masa, mereka terikat dengan kewangan terhad contohnya pengangkutan untuk ke sekolah dan juga perlu mencari pengasuh anak sementara mereka menjadi sukarelawan dan ini melibatkan kos. Ibu tunggal juga mungkin keberatan untuk menjadi sukarelawan kerana tidak pasti bagaimana boleh membantu dan tidak melihat kewujudan sumber-sumber di sekolah yang boleh membantu anak-anak mereka.
Ibubapa bekerja pula sukar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan di sekolah kerana keterbatasan masa memandangkan mereka berdua bekerja. Jenis pekerjaan ibubapa boleh menjadi halangan untuk menjadi sukarelawan bila jadual kerja bertembung dengan jadual bertugas sebagai sukarelawan. Selain itu, ibubapa bekerja mungkin tidak tahu apa yang boleh mereka bantu dalam aktiviti sukarelawan atau tidak percaya keupayaan mereka membantu anak-anak mereka menjadi lebih baik di sekolah.




Comments

Popular posts from this blog

Negaraku Bertuah Malaysia